“KITA
adalah apa yang kita makan”. Ia menjelaskan betapa pentingnya memilih makanan
yang menepati piawaian halal dan suci kerana ia menentukan tahap kesihatan
jasmani juga rohani. Salah pilih makan merana badan.
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan isu produk dicemari DNA
terlarang serta premis makanan ternama tidak mempunyai dan melanggar piawaian halal.
Masyarakat pantas memberikan respon kepada isu ini dan menjadi viral di laman
sosial.
Pendedahan menggemparkan ini membuka perbincangan keperluan
pengguna perlunya mencari produk halal yang mempunyai kelulusan daripada pihak
berkuasa untuk menaikkan keyakinan bagi memilih produk menepati piawaian
ditetapkan.
Sebenarnya,
potensi industri halal dunia mempunyai peluang besar untuk diterokai. Dengan
jumlah populasi penduduk Islam hampir dua bilion seluruh dunia serta potensi
jualan mencecah hampir RM9.2 trilion setahun peluang terbuka untuk diterokai
dan dirintis.
Kedudukan strategik Malaysia juga kelengkapan infrastruktur
serta galakan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi pemangkin
untuk menghasilkan produk halal berkualiti juga bertaraf antarabangsa.
Ia juga bersandarkan ekosistem dan pembangunan prasarana halal
lengkap serta tidak boleh didapati di negara lain seluruh dunia yang menyumbang
kepada nilai eksport tahunan positif.
Malaysia adalah negara pertama di dunia yang membangunkan
piawaian makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500 2004. Ia
menjadi kelebihan dan kepakaran negara untuk menerajui industri halal di
peringkat global.
Mengikut
unjuran dianggarkan, kepesatan industri produk halal dan kewangan Islam
mewujudkan nilai AS$7 trilion=(RM22.4 trilion), industri produk halal dan
kewangan Islam kini muncul sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia.
Di Selangor, ia turut diberikan perhatian serius Kerajaan Negeri
apabila Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyatakan hab halal yang sedang
dilaksanakan di Pulau Indah, Klang perlu diperluaskan di kawasan memiliki
prasarana, infrastruktur serta teknologi tinggi seperti Cyberjaya bagi
menjayakan usaha berkenaan.
Katanya, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Pulau Indah
sebagai ‘Halal International Selangor’ yang menetapkan penguasaan dalam dan
luar negara sebagai sasaran baru serta bersifat menyeluruh.
“Baru-baru ini, saya melawat Jepun dan Korea untuk menarik
pelabur asing supaya dapat menggunakan kemudahan zon industri yang dibangunkan
di Pulau Indah. Alhamdulillah sambutan amat baik serta perlu diperluaskan,”
katanya.
Sementara itu, permohonan pensijilan halal di Selangor meningkat
hampir 500 peratus sejak 2012 melalui penambahbaikan pengurusan halal dari
semasa ke semasa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim
menyatakan permohonan yang sebelumnya hanya 250 setahun bertambah kepada
sekitar 1,200 sejak beberapa tahun lalu.
Sebenarnya, keutamaan produk
halal bukan sahaja terletak pada sijil dan logo untuk memastikan kehalalannya
tetapi penghasilan produk itu juga harus mementingkan aspek kualiti, kebersihan
dan kesejahteraan berbanding penggunaan produk berkenaan.
Isu produk makanan halal
bukan main-main. Ia adalah isu penting dan menjadi perhatian umum. Lihat sahaja
kes produk coklat sebelum ini yang didakwa mempunyai DNA terlarang sehingga
menjejaskan jualannya.
Apabila disebut sahaja
industri halal, kita hanya fikir ia tertumpu kepada industri produk berasaskan
makanan dan minuman. Realitinya, ia merangkumi sektor lebih besar merangkumi
farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, pembungkusan, logistik, perbankan
dan kewangan, jentera pemprosesan dan pembungkusan makanan, pelancongan serta
bidang lain di dalam ekosistem industri halal. Malah, kini sektor pelancongan
dan perhotelan juga turut memberikan keutamaan kepada penyediaan makanan patuh
syariah juga standard ‘Halalan Toyyiba’.
Peningkatan kesedaran dan
pendidikan serta promosi mempengaruhi perkembangan industri halal. Ia berlaku
kerana masyarakat kini lebih mementingkan produk halal yang mempunyai standard
kebersihan dan kesucian tinggi. Mereka akan mengelakkan diri daripada memakan
makanan tidak sihat dan berlemak dalam kuantiti yang banyak. Contohnya,
masyarakat bukan muslim mengurangkan pengambilan daging khinzir kerana berlemak
dan boleh menjejaskan kesihatan mereka. Keadaan ini menggalakkan perkembangan
industri halal terutama industri makanan yang membekalkan makanan yang selamat,
berkualiti tinggi dan bersih serta jaminan daripada segi standardnya.
Apa yang perlu diberi
perhatian kerajaan adalah penguatkuasaan logo halal dengan memastikan tidak
berlaku penyalahgunaan apabila terdapat pengusaha tidak mematuhi prosedur
berkenaan.
Undang-Undang sedia ada
berkenaan logo halal perlu dikemaskini bagi memastikan penggunaannya tidak
dipergunakan pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan.
Adalah disyorkan pihak yang
menyelia kelulusan halal dipertingkatkan daripada sumber manusia dan
memperbaiki prosedur sedia ada bagi memastikan kelulusan halal pantas dan
tepat.
Malah, pengusaha industri
kecil dan sederhana yang belum memohon kelulusan penggunaan logo halal perlu
digalakkan membuat permohonan supaya pasaran mereka lebih meluas dan diyakini
diperingkat nasional juga antarabangsa.
Geran dan dana perlu
disalurkan kepada pihak industri untuk mereka membangunkan produk halal juga
melaksanakan promisi untuk meluaskan pasaran di peringkat global.
Kewujudan hab halal di negara
ini juga perlu pemerkasaan dan promosi supaya ia dapat berfungsi menjana
pembangunan ekonomi negara juga menghasilkan produk berkualiti menepati syariah
untuk dipasarkan di seluruh dunia.
Institusi pengajian tinggi
dan pusat penyelidikan perlu mempertingkatkan kerjasama dalam menjalankan
kajian dan pembangunan (R&D) berterusan untuk meningkatkan kualiti produk
halal supaya boleh memasuki semua pasaran antarabangsa yang mempunyai standard
kualiti lebih ketat.
Kemajuan dalam bidang
teknologi maklumat melalui media sosial perlu dipergunakan sebaiknya untuk
mempromosi produk halal dan mencetuskan kesedaran global dalam usaha
menjadikannnya keutamaan.
Platform e-dagang perlu
dibangunkan untuk menghubungkan berjuta-juta pengguna dengan tawaran perniagaan
pasaran gaya hidup muslim yang dianggarkan bernilai AS$2.5 trilion (RM8
bilion). Peluang pasaran kepada penduduk muslim dunia perlu diterokai
sebaiknya. Pew Research Center menyatakan jumlah umat Islam menyamai Kristian
masing-masing 32 peratus daripada jumlah penduduk dunia menjelang 2070.
Kajian sama juga menunjukkan
umat Islam bakal menjadi masyarakat terbesar dunia menjelang 2100 iaitu 35
peratus daripada jumlah penduduk dunia. Sementara dari sudut demografi, umat
Islam dunia mempunyai masa depan cerah sementara umat lain menghadapi gejala
kebekuan penduduk. Secara purata, umat Islam kini berkembang 1.8 peratus
setahun berbanding pertumbuhan penduduk dunia pada paras 1.12 peratus.
Sementara di Asia Tenggara,
jumlah umat Islam hari ini adalah 40 peratus atau kira-kira 240 juta yang
menjadikan Islam sebagai agama terbesar di rantau ini. Malaysia sudah sekian
lama bergantung kepada produk makanan dan minuman halal yang diimport dari luar
negara berbanding dihasilkan di dalam negara pada nisbah 2:1. Jika negara bukan
Islam menyedari potensi besar ini dengan menghasilkan produk berkenaan maka
peluang ini perlu diraih sebaik mungkin pengusaha tempatan dan muslim supaya
produk dihasilkan menepati kehendak syariah sebaik mungkin.
Kini peluang terbuka luas,
diharap potensi pasaran besar produk halal diraih sebaik mungkin untuk
menghasilkan dan memasar produk halal yang mempunyai prospek besar serta cerah.
Untuk Malaysia dan khususnya Selangor menjadi hab halal antarabangsa, maka
perancangan jangka pendek dan panjang perlu dirangka sebaik mungkin serta
mempunyai matlamat jelas untuk merealisasikan hasrat ini.
Berita berkenaan
penyalahgunaan logo halal perlu tegas ditangani penguatkuasa untuk memastikan
keyakinan pengguna terhadap produk halal tidak luntur dan merudum. Pemantauan
berterusan agensi kerajaan terlibat perlu diperhebatkan supaya tidak ada
perasaan ragu-ragu dalam kalangan pengguna berterusan.
Selain itu, promosi pasaran
produk halal patut agresif dan menyeluruh supaya mampu menarik minat pengguna
bukan Islam kerana standard ditetapkan bukan hanya memenuhi kehendak halal,
bahkan sihat dan suci juga boleh digunakan semua golongan. Potensi pertumbuhan
produk halal bukan sahaja terhad kepada pengguna Islam, bahkan semakin mendapat
momentum dan penerimaan dalam kalangan pengguna bukan Islam kerana mereka
kebiasaannya menganggap produk ini sudah melepasi pemeriksaan dan kawalan
standard ketat.
Allah berfirman yang
bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang
halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana
sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah,
ayat 168)
Firman lain yang bermaksud,
“Maka makanlah dari (sembelihan binatang halal) yang disebut nama Allah ketika
menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (Surah al-An’aam,
ayat 118).