HAKIMAH MOHD. YUSOFF
Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, bagaimanapun pengiktirafan tersebut perlu melalui prosedur yang ditetapkan dan menjalani pemeriksaan ketat.
“Setakat ini kita ada 73 logo halal dari 49 negara. Tanggungjawab menentukan status halal barangan bukan sahaja terhadap agensi terlibat, tetapi juga pada pemeriksaan bagaimana status halal bahan mentah dikekalkan dan dipantau pada setiap masa.
“Pihak Jakim akan membuat penilaian keupayaan termasuk audit terhadap badan berkenaan di luar negara bagi memastikan aspek se­perti keupayaan sistem pensijilan, sumber manusia, kepakaran syariah dan sains, struktur organisasi serta latihan dan kecekapan mencapai tahap keyakinan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hakimah, peranan badan pensijilan yang diiktiraf tersebut adalah untuk menyelia status halal di kilang dan tidak bermakna melepaskan tanggungjawab kepada pihak berkuasa Malaysia.
“Badan pensijilan perlu memastikan bahawa produk halal untuk dieksport ke Malaysia mematuhi standard MS 1500:2009 dan stan­dard lain yang terlibat. Selain itu sebarang perubahan berhubung prosedur pensijilan perlu dimaklumkan kepada Jakim.
“Antara syarat lain, mereka juga harus mengemukakan laporan terhadap aktiviti-aktiviti pemantauan dan audit bagi setiap enam bulan,” katanya.
Jelas beliau, hasil penilaian akan dibentang dalam Mesyuarat Panel Luar Negara untuk mendapat keputusan manakala kesahihan pelantikan tersebut pula hanya sah bagi tempoh dua tahun. “Antara prosesnya adalah penilaian dokumen permohonan, lawatan, latihan dan audit.

Setelah itu jika diluluskan, agensi tersebut akan disenaraikan dalam laman web www.halal.gov.my manakala yang tidak berjaya akan melalui proses audit semula,” katanya.
Sehubungan itu katanya, pengguna tidak perlu bimbang akan status halal sesuatu produk yang berlogo halal dari luar negara asalkan badan tersebut merupakan antara agensi yang diiktiraf Jakim.
“Peraturan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 menetapkan hanya produk import yang menggunakan logo halal daripada badan diiktiraf oleh Jakim saja boleh dibawa masuk ke Malaysia.
“Oleh itu, dengan peraturan sedia ada dan mekanisme pengiktirafan ketat oleh Jakim, pengguna tidak perlu meragui produk-produk yang mempunyai logo halal antarabangsa di pasaran,” katanya.