KOTA BHARU- 12 SEPTEMBER, Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah menganjurkan program perkongsian maklumat berhubung isu-isu halal kepada masyarakat setempat yang telah diadakan di Pasaraya Tesco, Kota Bharu. Program ini merupakan salah satu daripada Kempen ‘Yakini Halal Malaysia’ yang telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan dengan rakan strategik iaitu Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad dan Tesco Stores (MALAYSIA) Sdn. Bhd.
Sesi ‘Walkabout Halal’ telah dijayakan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Hab Halal Jakim dengan menampilkan gabungan dua kemahiran dalam bidang pematuhan syarak dan teknologi makanan. Sesi yang dikendalikan oleh Ustaz Johari bin Ab Latiff dan Puan Shamsiah Aziz telah mengupas mengenai pelbagai isu halal yang menjadi keresahan di kalangan pengguna di luar seperti senarai ‘kod e’ yang dikatakan dari sumber haram, isu viral di media sosial, pemantauan dan penguatkuasaan serta pematuhan prosedur pensijilan halal Malaysia. Para peserta kemudiannya turut menyertai program ‘Halal Treasure Hunt’ di mana kesemua peserta dikehendaki menyelesaikan 13 soalan dalam tempoh 2 jam di dalam pasaraya Tesco. Antara tugasan yang perlu diselesaikan oleh peserta adalah mencari produk yang mempunyai ‘kod E’ berlogo halal, logo halal Badan pensijilan Halal Luar Negara Yang Diiktiraf, menyelesaikan teka silang kata dan mencari produk yang menggunakan bahan tambah dalam makanan.
Antara objektif utama program ini dijalankan ialah:-
- Menyediakan platform yang lebih ‘mesra pengguna’ kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat mengenai pensijilan halal Malaysia;
- Memberi pendedahan mengenai isu semasa halal secara ‘first hand’ kepada masyarakat setempat;
- Membantu menjadi pemudahcara kepada pemohon pensijilan halal untuk melakukan permohonan Sijil Halal melalui sistem myehalal;
- Memperkenal sistem aplikasi-aplikasi yang dibangunkan oleh Bahagian Hab Halal kepada para pendidik dan menjadi perintis dalam menyebarkan maklumat halal yang tepat di media sosial;
- Untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penggunaan logo halal swasta/generik/ badan Islam tidak diiktiraf pada produk pelbagai skim di pasaran/pasaraya.
Program ini telah berakhir pada jam 2.00 petang dengan penyempurnaan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Pemenang tempat pertama telah berjaya membawa pulang baucar membeli belah bernilai RM500 sumbangan Pasaraya Tesco dan hamper barangan Yeo’s, manakala tempat kedua memenangi baucar membeli belah sebanyak RM300 dan hamper barangan Yeo’s dan tempat ketiga telah berjaya memenangi baucar membeli belah sebanyak RM 200 serta hamper barangan Yeo’s. Lain-lain kumpulan turut membawa pulang hadiah saguhati sumbangan daripada syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad. Semoga program sebegini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menggunakan produk-produk yang telah disahkan di pasaran serta menilai kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan sesama sendiri.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan