Walaupun bermula Januari 2012 semua logo halal sudah diselaraskan dengan menggunakan satu logo yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk kegunaan di seluruh negara, namun realitinya bukan begitu.
Apa yang membimbangkan, kebanyakan produk yang dikatakan berstatus halal itu merupakan barangan keperluan harian berasaskan makanan. Dalam laporan khas kali ini, wartawan Utusan Malaysia, LILIS SURIANI OMAR meninjau kebanjiran pelbagai produk dengan perakuan halal berbeza di sebuah pasar raya terkemuka di ibu negara.
KUALA LUMPUR 4 Okt.  -  Bukan sahaja tidak menggunakan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), malah le­bih mengelirukan, dua produk import dengan jenama sama didapati menggunakan tanda halal dari dua negara berlainan.
Setelah diteliti, dua produk makanan ringan terbabit merupakan keluaran Jerman, tetapi dikilangkan di Turki dan yang menjadi tanda tanya, mengapa makanan berjenama serupa tersebut menggunakan logo halal dari Indonesia dan Belanda?
Kekeliruan ini mencetuskan tanda tanya pihak mana menentukan status halal sesuatu produk khususnya makanan. Mungkin benar makanan tersebut halal berdasarkan pengiktirafan Jakim terhadap agensi atau pertubuhan Islam di luar negara tetapi sejauh mana kesahihannya?
Tinjauan di sebuah pasar raya besar baru-baru ini mendapati,terdapat lebih 10 jenis logo halal pada produk makanan tidak kira sama ada dari badan Islam antarabangsa mahupun tempatan.
Terdapat juga sesetengah produk hanya dilabelkan menggunakan logo halal yang dilekatkan dan bukannya dicetak di pembalut.
Yang mana satu sebenarnya logo asli mengikut piawaian pensijilan halal? Keadaan ini hanya menambahkan kesangsian pengguna terutama umat Islam yang sememangnya menitikberatkan kepentingan halal dan dituntut agama.
Sebelum ini, Akta Perihal Dagangan 2011 telah diperuntukkan kepada Jakim yang diberi kuasa penuh untuk menguatkuasakan penggunaan dan pengeluaran logo halal serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memalsukan sijil dan logo halal.
Langkah tersebut sepatutnya mampu menguburkan kebimbangan umat Islam di negara ini. Walau bagaimanapun, sehingga kini isu halal masih menjadi kegusaran pengguna.