
KUALA LUMPUR 4 Okt. – Halal atau tak halal? Ini logo negara mana? Pelbagai kemusykilan timbul apabila menyentuh soal halal. Tidak kurang juga pengguna yang akhirnya memilih untuk tidak membeli produk yang bukan berlogo halal Malaysia kerana was-was.
Biarpun ada lebih 70 badan Islam dari seluruh negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sudah sampai masanya masalah ini diselesaikan secara lebih berkesan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perlu ada satu kaedah atau mekanisme berkesan untuk mengatasi isu halal terutama melibatkan barangan import.
“Secara logiknya pengguna tidak mungkin dapat mengingat kesemua jenis logo halal yang diperakui Jakim, jadi saya rasa perlu diwujudkan satu aplikasi khusus untuk menyemak tanda halal ini.
“Dengan cara itu, pengguna boleh memuat turun aplikasi di telefon pintar masing-masing dan mengimbas logo terbabit. Mana yang tidak dipaparkan bermakna bukan logo halal yang diperakui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, katanya, antara langkah lain yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mengeluarkan logo bersama antara Jakim dan agensi-agensi terbabit.
“Jakim dan badan Islam luar negara juga boleh mengeluarkan satu sijil bersama supaya dapat memudahkan pengguna sama ada dalam bentuk logo ataupun nombor,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, selain pemantauan berterusan, pihak berkuasa perlu lebih peka supaya dapat membuat penyelarasan secara proaktif terhadap perkara membabitkan isu halal.
“Sebenarnya perkara ini bukan sahaja melibatkan produk dan barangan, tetapi hal-hal berkaitan pengendalian di restoran serta hotel perlu diambil peduli.
“Justeru itu, selain Jakim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga harus turun padang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan