Kuala Lumpur: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara jika Malaysia bersetuju menandatangani perjanjian berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) antara bidang yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.
“Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.
“Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, ‘Ekonomi Negara’, semalam.
Beliau berkata, persetujuan pembabitan Malaysia dalam TPPA akan turut mengurangkan kos struktur perniagaan apabila terdapat produk luar yang dibenarkan masuk ke dalam negara.
Beliau turut menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah ‘pak turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian itu.
Menjawab isu lain, Wahid berkata, pihaknya yakin usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai paras mata wang negara patut berada dan bila ia sepatutnya berlaku.
Beliau diminta mengulas mengenai unjuran Rabobank bahawa ringgit akan diniagakan antara RM4.45 dan RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.
Mengenai isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), katanya itu akan diselesaikan sebelum akhir tahun sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ia diberi penekanan lagi apabila kerajaan mengambil langkah proaktif antaranya menjual aset 1MDB dan menggunakan hasilnya untuk membayar dan mengurangkan hutang,” katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan