27 OKT : Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dicabar untuk mewujudkan persijilan halal antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia selaku antara perintis
industri halal tidak sewajarnya ketinggalan dalam bidang persijilan halal berbanding negara lain terutama negara yang masyarakat Islamnya adalah minoriti.

“Saya berharap HDC akan mengambil cabaran ini secara serius dan saya juga akan meletakkan perkara ini dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama),” katanya dalam ucapan pada Program Inisiatif Halal dalam Industri Rawatan Kesihatan anjuran HDC di ibu negara, Selasa.
Dalam pada itu Malaysia katanya, berada di landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan dunia dengan menjana perolehan RM1 bilion setahun.
Menurutnya, ekosistem industri farmasutikal halal yang mapan di negara ini menyaksikan 110 syarikat pembuatan farmaseutikal di Malaysia sehinga Ogos mendapat persijilan halal termasuk 24 syarikat yang mengeksport produk berasaskan industri berkenaan.
“Malaysia juga antara negara di rantau ini yang menerima skim kerjasama pemeriksaan farmaseutikal dan membolehkan pemain industri tempatan mengeluarkan produk mengikut standard pembuatan berkualiti tinggi.
“Perkara ini juga membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mengeksport produk mereka ke pasaran asing yang mempunyai skim berkenaan antaranya Eropah, Australia dan Kanada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan