Bersempena Kempen Yakini Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Hab Halal telah berjaya menganjurkan Halal Fun Ride 2015 yang telah berlangsung pada 22 Ogos 2015. Program yang menjadikan acara berbasikal santai beramai-ramai dengan disulami pengisian maklumat ringan berkaitan Halal Malaysia sekitar Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya telah mampu menarik lebih 3500 orang peserta berbasikal dari dalam dan luar negara.






Program yang julung kali diadakan ini telah dimulakan dengan solat subuh berjemaah para peserta dengan diimamkan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau kemudiannya telah turut menyempurnakan majlis pelancaran kempen Yakini Halal Malaysia dan merasmikan acara Halal Fun Ride ini. Perasmian ini telah berlangsung di garisan permulaan acara berbasikal berhadapan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Usai merasmikan program, beliau diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman bin Mustapha dan beberapa orang dif kehormat ke acara berbasikal santai tersebut.
Melalui penganjuran program yang dijayakan oleh JAKIM bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Bikeaway, Perbadanan Putrajaya, Pejabat Kesihatan Putrajaya, IPD Putrajaya, RELA dan JPAM diharap dapat memenuhi tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pensijilan halal Malaysia. Kesedaran ini mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap logo Halal Malaysia dan logo-logo halal badan-badan pensijilan luar negara yang diiktiraf.
Selain daripada rakan-rakan penganjur JAKIM, program ini turut mendapat sokongan penuh syarikat-syarikat pemegang Sijil Halal Malaysia. Semoga melalui penganjuran program ini ia mampu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pusat rujukan halal global dan menjadi pusat pengeluaran, perdagangan serta inovasi halal bertaraf dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan