Jumaat, 11 September 2015

WHS 2015 Satukan Pasaran Halal Global

Sidang Kemuncak Halal Sedunia (WHS) 2015 yang julung kali diadakan bertujuan mentransformasikan acara berkaitan halal di seluruh dunia serta mewujudkan platform paling relevan bagi penganjuran pameran atau persidangan halal seumpamanya. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata WHS yang berlangsung pada 30 Mac hingga 4 April 2015, menampilkan satu pameran dan enam forum yang mengkhusus kepada subjek tertentu dengan matlamat utama menyatukan pasaran halal global. Katanya, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang sebelum ini menjadi pameran halal antarabangsa terulung negara kini disatukan di bawah WHS 2015 dan bakal menjadi acara tumpuan utama sidang kemuncak itu. Penekanan transaksi perniagaan "MIHAS 2015 yang memasuki tahun ke-12 penganjuran kini sudah berubah daripada menjadi platform untuk mewujudkan kesedaran terhadap produk dan perkhidmatan halal kepada memberi penekanan terhadap transaksi perniagaan dan mewujudkan peluang untuk perdagangan dan pelaburan antara pemegang kepentingan industri halal tempatan dan antarabangsa," katanya pada taklimat mengenai WHS 2015 di Kuala Lumpur, semalam. 


WHS 2015 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sejak penganjuran sulung pada 2004, MIHAS muncul pameran halal yang mendapat perhatian dunia dengan kira-kira 170,000 pelawat dari 70 negara, 4,000 syarikat dari 48 negara sudah menyertainya dan menghasilkan jualan melebihi AS$3 bilion (RM11.14 bilion) dalam tempoh 11 tahun lalu. 640 gerai ambil bahagian. Tahun ini, MIHAS menyediakan 640 gerai untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa yang mana setakat ini, 534 syarikat tempatan dan antarabangsa sudah menempah gerai pameran, dengan 55 peratus adalah pempamer tempatan dan 45 peratus lagi perniagaan antarabangsa dari 20 negara.

Mustapa berkata, dalam kalangan 20 negara yang sudah mengesahkan penyertaan untuk MIHAS kali ini, 12 adalah negara luar daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu Belgium, China, Perancis, Jepun, Belanda, Poland, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Amerika Syarikat. Katanya, tahun lalu MIHAS menghasilkan jualan keseluruhan AS$291.4 juta (RM1.08 billion) iaitu jualan daripada pameran sebanyak AS$147.5 juta (RM548.18 juta) dan AS$143.9 juta (RM534.80 juta) daripada padanan perniagaan. "Berdasarkan suasana ekonomi yang mencabar ketika ini, kami harap jualan tahun ini sekurang-kurangnya mampu menyamai jualan tahun lalu,’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan