OH Halal
Mencari yang halal semakin mudah! Sebagai pengguna muslim, pastikan Halal baru beli kerana diri kita adalah apa yang kita makan...
Selasa, 1 Mac 2016
Halal ke dimakan haiwan hasil perburuan seekor anjing?
Baru-baru ni, terdengar satu slot di IKIM mengenai kemuliaan dan sanjungan yang diberikan oleh Allah SWT terhadap haiwan yang berilmu.
Surah Al-Maidah Ayat 4: "Katakanlah dihalalkan bagi kamu memakan yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar untuk berburu mengikut pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya sebagaimana yang diajar oleh Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu”
Ya, dalam kes ini, haiwan yang boleh dilatih (diberikan ilmu) untuk berburu adalah haiwan seperti anjing yang buas dan keluarga harimau (di Afrika). Haiwan pemburu ini boleh diajarkan oleh tuannya cara untuk memburu tanpa menyebabkan haiwan buruan itu mati (haiwan buruan hanya cedera) untuk disembelih (jika masih bernyawa) dengan nama Allah oleh tuannya.
Ketika melepaskan bintang perburuan hendaklah disebutkan nama Allah. Jika pemburu tidak sempat mendapatkan binatang buruan itu dan ia telah mati, maka binatang itu dianggap telah disembelih dan halal di makan.
Sabda Rasulullah s.a.w dari hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim r.a. “Apabila kamu melepaskan anjing berburu kamu yang kamu yang telah di ajar dan kamu membacakan Bismillah lalu ia menangkapnya, tidak memakannya dan binatang itu mati , maka makanlah dari binatang itu. Sekiranya anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya . Sesungguhnya ia telah menangkap untuk dirinya bukan untuk kamu” (al-Bukhari dan Muslim)
Sekiranya binatang perburuan itu membunuh binatang lain tanpa ia dilatih dan diberikan ilmu perburuan terlebih dahulu, maka binatang yang dibunuh itu dikira bangkai dan haram dimakan.
Jadi kesimpulannya, kalau anjing itu berilmu iaitu dilatih oleh tuannya untuk berburu, maka halallah hasil perburuan anjing itu untuk dimakan oleh kita.
Wallahua'lam.
OH Halal
Jumaat, 30 Oktober 2015
Kursus DNA Dan Forensik Makanan
Produk halal yang berada di pasaran pada ketika ini tidak lari daripada aduan pengguna yang meragui status halalnya walaupun sudah memiliki sijil halal. Justeru pihak berkuasa yang diamanahkan bagi tanggungjawab ini perlu berhadapan dalam keadaan mencabar ini bagi membuktikan kesahihan produk halal tersebut. Teknik DNA kerap digunakan untuk mengenalpasti spesis haiwan kerana DNA adalah stabil walaupun setelah melalui pemprosesan produk tersebut. Di samping itu ia amat tahan terhadap suhu tinggi juga molekul biologi bertahan lama dan hadir dalam semua jenis tisu organism hidup. Hasil analisis Polymerase Chain Reaction (PCR) menunjukkan keputusan yang sangat baik untuk pengesanan secara kualitatif dan kuantitatif bagi contoh, sumber daripada babi dalam sampel.
Bagi memantapkan ilmu dan kefahaman pegawai dalam bidang berkenaan Cawangan Penguatkuasaan dan Pemantauan Bahagian Hab Halal dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi UKM telah mengadakan kursus DNA dan Forensik pada 5-7 November lalu bertempat di Masjid Putra dan Food Pilot Plant , Fakulti Sains dan Teknologi UKM. Pembimbing bagi kursus ini terdiri daripada Pakar DNA dan Forensik Sains UKM iaitu Prof Madya Dr Khairul Osman, Tuan Amidon Anan (Mantan Pakar Forensik PDRM) dan Dr Siti Noorbaiyah Abdul Malek. Peserta telah didedahkan dengan teori DNA, kaedah/prosedur persampelan forensik makanan, teknik pengumpulan bukti dan mendokumentasi bahan bukti. Peralatan bagi memproses bukti di lokasi yang disyaki turut diperkenalkan kepada peserta.
Latihan amali telah berlangsung di Food Pilot Plant, UKM dan setiap peserta telah mengaplikasikan segala ilmu teori yang diperolehi sebelum itu.

Peserta kursus bersama Tuan Amidon Anan, Mantan Pakar Forensik PDRM

Kelas Teori Sains Forensik
Bengkel Kriteria Dan Prosedur Pengiktirafan Badan Islam Luar Negara & Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal Negara-Negara MABIMS Kali Ke- 4 Tahun 2015

Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah menganjurkan Bengkel Kriteria Dan Prosedur Pengiktirafan Badan Islam Luar Negara & Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal Negara-Negara MABIMS Kali Ke-4 pada 19–20 Mei 2015 bertempat di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.


Objektif utama program ini adalah bagi menentukan Badan Pensijilan Halal Luar Negara sebagai rujukan bersama badan pensijilan halal negara-negara anggota MABIMS. Pelbagai isu berkaitan teknikal pensijilan halal negara-negara MABIMS turut dibincangkan di dalam pertemuan kali ini di samping merancang dan melaksanakan strategi serta program bagi memenuhi keperluan pengharmonian prosedur dan kriteria pensijilan halal negara-negara anggota MABIMS.

Pada sesi bengkel yang diadakan, Islamic Development Bank (IDB) Jeddah turut dijemput bagi membentangkan cadangan menjalinkan kerjasama antara IDB Jeddah dan Jawatankuasa Halal MABIMS. Pembentangan Study Report and Publication On Synergistic Collaboration On Halal Guidelines And Procedures Among MBIMS Countries bertujuan untuk menyatakan secara jelas petunjuk pembangunan halal peringkat negara MABIMS dan kemudiannya akan dipanjangkan ke peringkat antarabangsa khususnya negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kesediaan IDB Jeddah untuk berkerjasama dengan MABIMS adalah satu peluang yang sangat baik dan murni. Mudah-mudahan cadangan kerjasama ini akan mendapat sokongan padu daripada Negara-negara Anggota MABIMS kerana ia adalah satu platform bagi membolehkan Negara-negara Anggota MABIMS untuk membawa prinsip-prinsip Pensijilan Halal Negara-negara Anggota MABIMS yang diperakui terbaik di dunia ke peringkat antarabangsa, khususnya ke negara-negara Islam bagi membantu mereka memacu ekonomi dan industri halal serta beroleh faedah yang diharapkan.


Peserta program terdiri daripada pegawai-pegawai kanan yang mewakili negara anggota MABIMS dan Jakim.
HALAL FUN RIDE 2015 MENCETUS GELOMBANG YAKINI HALAL MALAYSIA
Bersempena Kempen Yakini Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Hab Halal telah berjaya menganjurkan Halal Fun Ride 2015 yang telah berlangsung pada 22 Ogos 2015. Program yang menjadikan acara berbasikal santai beramai-ramai dengan disulami pengisian maklumat ringan berkaitan Halal Malaysia sekitar Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya telah mampu menarik lebih 3500 orang peserta berbasikal dari dalam dan luar negara.






Program yang julung kali diadakan ini telah dimulakan dengan solat subuh berjemaah para peserta dengan diimamkan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau kemudiannya telah turut menyempurnakan majlis pelancaran kempen Yakini Halal Malaysia dan merasmikan acara Halal Fun Ride ini. Perasmian ini telah berlangsung di garisan permulaan acara berbasikal berhadapan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Usai merasmikan program, beliau diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Othman bin Mustapha dan beberapa orang dif kehormat ke acara berbasikal santai tersebut.
Melalui penganjuran program yang dijayakan oleh JAKIM bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Bikeaway, Perbadanan Putrajaya, Pejabat Kesihatan Putrajaya, IPD Putrajaya, RELA dan JPAM diharap dapat memenuhi tujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pensijilan halal Malaysia. Kesedaran ini mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap logo Halal Malaysia dan logo-logo halal badan-badan pensijilan luar negara yang diiktiraf.
Selain daripada rakan-rakan penganjur JAKIM, program ini turut mendapat sokongan penuh syarikat-syarikat pemegang Sijil Halal Malaysia. Semoga melalui penganjuran program ini ia mampu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pusat rujukan halal global dan menjadi pusat pengeluaran, perdagangan serta inovasi halal bertaraf dunia.
Rabu, 28 Oktober 2015
HDC perlu segera wujudkan sijil halal antarabangsa
27 OKT : Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dicabar untuk mewujudkan persijilan halal antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia selaku antara perintis
industri halal tidak sewajarnya ketinggalan dalam bidang persijilan halal berbanding negara lain terutama negara yang masyarakat Islamnya adalah minoriti.

“Saya berharap HDC akan mengambil cabaran ini secara serius dan saya juga akan meletakkan perkara ini dalam KPI (Petunjuk Prestasi Utama),” katanya dalam ucapan pada Program Inisiatif Halal dalam Industri Rawatan Kesihatan anjuran HDC di ibu negara, Selasa.
Dalam pada itu Malaysia katanya, berada di landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pelancongan perubatan dunia dengan menjana perolehan RM1 bilion setahun.
Menurutnya, ekosistem industri farmasutikal halal yang mapan di negara ini menyaksikan 110 syarikat pembuatan farmaseutikal di Malaysia sehinga Ogos mendapat persijilan halal termasuk 24 syarikat yang mengeksport produk berasaskan industri berkenaan.
“Malaysia juga antara negara di rantau ini yang menerima skim kerjasama pemeriksaan farmaseutikal dan membolehkan pemain industri tempatan mengeluarkan produk mengikut standard pembuatan berkualiti tinggi.
“Perkara ini juga membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mengeksport produk mereka ke pasaran asing yang mempunyai skim berkenaan antaranya Eropah, Australia dan Kanada,” katanya.
Isnin, 26 Oktober 2015
Russia Jemput Syarikat Malaysia Untuk Memasuki Pasaran Halalnya
Russia menjemput syarikat syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran halalnya kerana permintaan produk halal di sana semakin berkembang.
Presiden Regions-Russia Association Linar Yakupov berkata pasaran halal negara itu mencatatkan pertumbuhan 100% pada 2014.
“Kami berminat untuk bekerjasama dengan syarikat syarikat Malaysia dan pihak yang terlibat dalam industri halal untuk membina pusat pengeluaran dan pengedaran di Russia,” katanya kepada wartawan.
Russia mempunyai populasi Muslim melebihi 20 juta.
“Terdapat permintaan yang tinggi di Russia daripada komuniti Muslim begitu juga dengan populasi bukan Muslim. Oleh itu kami berminat untuk bekerjasama dengan syarikat syarikat Malaysia untuk membawa produk produk halal ke negara kami,” Yakupov menambah.
Sementara itu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Datuk Dzulkifli Mahmud juga menggesa syarikat syarikat tempatan menjadi lebih berani dan memasuki industri halal di Russia yang menjanjikan pulangan lebih baik di masa hadapan.
Dzulkifli berkata industri halal dijangka menyumbang 5.8% pertumbuhan produk domestik Malaysia tahun ini.
Russia telah dikenal pasti sebagai pengimport produk dan servis halal Malaysia yang paling pesat berkembang di dunia.
Malaysia juga berada di ranking ke-19 destinasi eksport untuk produk halal dengan nilai RM385.05 juta pada 2014, meningkat sebanyak 34.2% dari tahun sebelumnya.
Tahun lepas, jumlah trade Russia-Malaysia mencatatkan angka US$2.8 billion, meningkat 55.2% daripada US$1.81 billion pada 2013.
Jumaat, 16 Oktober 2015
Bukti Pasaran Produk Lebih Tinggi Jika Punya Sijil Halal

Pasaran produk lebih tinggi jika punya Sijil Halal. Anda setuju? Berikut buktinya!
Berdasarkan peratusan hanya 30 peratus usahawan Bumiputera memiliki Sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selebihnya dikuasai usahawan bukan Bumiputera.
Usahawan bumiputera seharusnya sedar bahawa mengeluarkan produk halal di pasaran adalah penting tetapi oleh kerana sifat “berkira” untuk mengeluarkan modal menjadi kekangan buat orang kita tidak memiliki sijil halal. Tetapi sebaliknya berlaku kepada usahawan bukan Bumiputera yang menyasarkan pembeli dari kalangan Muslim dan perlu bagi mereka memiliki sijil halal untuk memasarkan produk mereka.
Seharusnya usahawan tidak memikirkan produk berlegar di dalam pasaran tempatan malah sebaliknya biar hingga ke pasaran antarabangsa.

nilai eksport Produk Halal bagi empat tahun kebelakangan. Jadi, adakah anda masih ragu-ragu untuk memohon pensijilan Halal?
Percayalah, dengan memiliki sijil halal, akan memberi keyakinan yang tinggi kepada pembeli dan secara automatik pasaran produk lebih tinggi dan keuntungan pula akan lebih banyak jika mempunyai sijil halal.
Langgan:
Catatan (Atom)