Kuala Lumpur: Halal Industry Development Corporation (HDC) melihat semua pemain industri yang berkebolehan dalam sektor pengeluaran ramuan halal perlu meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya memandangkan ketika ini Malaysia menjadi pemain utama dalam sektor berkenaan dalam kalangan negara pengeksport.
Pada masa sama, ramuan halal juga adalah penyumbang kedua terbesar dalam eksport halal pada tahun lalu selepas sektor makanan dan minuman iaitu RM12.16 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, memandangkan bilangan penduduk Islam yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, kapasiti pengeluaran produk halal turut meningkat, sekali gus memberi peluang kepada Malaysia untuk menerajui sektor ramuan halal.
Beliau berkata, ramuan halal tidak hanya digunakan dalam produk makanan saja, malah ia digunakan dalam pelbagai sektor halal yang lain seperti farmaseutikal dan kosmetik.
“Banyak negara asing yang bukan negara Islam mula menyedari potensi sektor halal yang mana mereka memerlukan sumber atau ramuan yang menjadi bahan utama dalam pengeluaran sesuatu produk.
“Kita ketika ini, masih belum dapat memenuhi kapasiti sepenuhnya yang diperlukan oleh rakan dagangan eksport halal daripada segi bekalan ramuan dan ini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menyertai sektor ini,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.
Ramuan halal membabitkan bahan mentah atau komoditi, ramuan atau komponen dalam bentuk barangan siap atau separa siap, diperbuat daripada sumber bersih yang disyaratkan Islam, yang disediakan sebagai barangan siap pengguna.
Jamil berkata, syarikat tempatan juga boleh mengambil manfaat kepada kemampuan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak kelapa sawit kerana ia juga adalah salah satu sumber ramuan halal.
“Pasaran bagi ramuan halal sangat besar. Sebagai contoh, untuk gelatin halal sahaja, kurang daripada lima peratus produk gelatin di dunia adalah halal.
“Jika kita lihat pelbagai produk memerlukan gelatin sebagai ramuan pengeluaran produk mereka dan ia memberi manfaat kepada usahawan tempatan untuk menerokai peluang ini,” katanya.

ANTARA produk halal dikeluarkan pengusaha tempatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan