Sukar dipercayai apabila di
Lembah Klang yang serba-serbinya mahal bagi golongan berpendapatan rendah dan
sederhana, masih ada pengusaha makanan yang mampu menjual produk mereka pada
harga yang berpatutan, tapi dengan kualiti yang mengagumkan.
Pertama kali dipelawa pengusaha
roti dan sandwic, Muchos Bread untuk mencuba hidangan popular mereka, Poison
Heart iaitu roti baguette berperisa tomato diisi inti ayam dan salad, penulis
sama sekali tidak menyangka ia dijual pada harga RM2.99! Mengejutkan, bukan?
Sangkaan penulis, mungkin roti
seumpama itu sekurang-kurangnya berharga RM5 hingga ke RM7 setiap satu kerana
saiznya dan mengenyangkan, tapi nyata sangkaan itu meleset.
Namun itulah prinsip yang
dipegang dua anak muda Mohd Hafiz Zawawi, 30, dan Ahmad Firdaus Ahmad Shater,
32, yang menawarkan roti dan sandwic setaraf jenama popular di pasaran pada
harga yang jauh lebih murah.
Pada kualiti seperti jenama
popular yang rata-rata dijual melebihi RM10, pengusaha Muchos Bread melihat
perniagaan mereka sebagai usaha meringankan beban pelanggan terutama
berpendapatan rendah yang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, bagi
mereka mengambil keuntungan sekadar perlu, namun kualiti dijaga dari segenap
segi.
“Tidak rugi jika kita tawarkan
produk berkualiti dengan harga murah. Lagipun lebih banyak kuantiti yang dijual
pasti ada keuntungannya juga. Tambahan pula kami sasarkan pelajar universiti,
sekolah, kafe, kantin dan pekerja di pejabat melalui khidmat penghantaran yang
kami sediakan.
“Setakat ini rata-rata pelanggan
berpuas hati dengan produk yang kami tawarkan dan sentiasa mendapat permintaan
yang tinggi daripada mereka,” kata Mohd Hafiz.
Katanya, roti baguette Muchos
Bread ditempah khas dan segar kerana dibuat setiap hari oleh pengeluar roti.
Selain itu, roti berkenaan diperbuat daripada tepung berprotein tinggi yang
mudah mengenyangkan manakala bahan mentah seperti daging ayam dan lembu, sosej
dan bebola daging didapati daripada pengeluar Bumiputera Islam yang mendapat
pengesahan halal JAKIM.
Selain baguette tomato, Muchos
Bread turut menyediakan baguette rolls dengan frankfurter ayam yang dijual pada
harga RM2.50, tuna rolls dan sandwic tuna masing-masing pada harga RM2 dan
RM1.50.
Bermula dengan menghasilkan
sandwich dan roti, perniagaan dua sahabat baik itu maju selangkah dengan
pembukaan kafe yang menyediakan menu masakan Barat seperti pasta, bebola
daging, kambing gril dan pelbagai hidangan lain.
Mohd Hafiz berkata, asalnya
premis yang disewa hanya untuk menyediakan tempahan sandwich dan roti, namun
masih ada ruang kosong di premis berkenaan, lantas mereka mendapat idea untuk
menggunakan sepenuhnya ruang premis untuk membuka kafe.
Katanya, pada sebelah pagi,
mereka menyiapkan tempahan baguette dan sandwic untuk dihantar kepada pelanggan
pada tengah hari dan operasi kafe mereka bermula 6 petang hingga 12 malam.
“Sebelum menjalankan perniagaan
ini secara sepenuh masa, kami terlebih dulu membuat kajian pemasaran selama
lebih dua bulan dengan menjual roti sosej di sekitar pejabat kami. Melihat
kemampuan menjual lebih 3,000 roti sosej sebulan secara separuh masa saja kami
berkeyakinan tinggi untuk pergi lebih jauh.
“Justeru, kami nekad melepaskan
jawatan di sebuah institusi pengajian tinggi dan sama-sama menumpukan sepenuh
perhatian terhadap perniagaan roti dan sandwic yang diusahakan. Dengan
berbekalkan modal sendiri yang kami kumpulkan bersama tanpa sebarang pinjaman
institusi kewangan, Alhamdulillah jenama roti kami semakin mendapat tempat di
hati pelanggan,” katanya.
Selain roti, mereka turut menawarkan
penghantaran ‘lunch box’ hidangan seperti pasta dan kambing gril yang perlu
ditempah awal sehari sebelum penghantaran.
Ia bagi memudahkan pelanggan yang
tidak mahu membazirkan masa rehat mereka untuk keluar menikmati hidangan
tengahari di restoran atau kedai makan.
“Dengan konsep sebegini,
pelanggan tidak perlu lagi berfikir apa menu yang mereka hendak makan pada hari
itu yang ada kalanya merugikan masa mereka. Ada pekerja di pejabat di tengah
bandar raya Kuala Lumpur sukar membeli makanan kerana perlu keluar ke jalan
yang sibuk sedangkan masa rehat mereka terhad.
“Jadi, mereka tidak perlu keluar
lagi kerana kami akan hantar lunch box ke pintu pejabat atau rumah dan bayaran
pula boleh terus dibuat selepas menerima produk kami. Ini pastinya lebih
memudahkan mereka yang sentiasa kesuntukan masa dek kesibukan kerja,” katanya.
Ahmad Firdaus berkata, industri
‘easy food’ seumpama itu lebih-lebih lagi makanan halal mempunyai potensi yang
sangat besar untuk diceburi menyebabkan mereka berani mencuba menjadi antara
pemain industri itu.
Apatah lagi dengan kesedaran
mengenai pengambilan makanan sihat yang semakin meningkat dalam kalangan
masyarakat katanya, penyediaan makanan sihat untuk pelanggan amat
dititikberatkan.
“Kami pastikan bahan yang
digunakan mengandungi nutrien makanan yang penting
dan seimbang, menyihatkan
serta sesuai dimakan semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Sosej misalnya,
kami dapatkan daripada pengeluar yang menggunakan 100 peratus daging berbanding
kebanyakan sosej di pasaran yang menggunakan bahan lebihan haiwan seperti
limpa, paru-paru, kaki dan hati dalam pembuatannya.
“Selain itu, kami juga menggunakan
bahan mentah yang agak mahal seperti cili benggala dan bawang Holland tapi
masih kekalkan harga berpatutan kerana kami mahu pelanggan menikmati produk
kami dengan keenakan dan rasa mewah tapi menjimatkan,” katanya.
Kafe milik kedua-dua sahabat yang
sudah bergelar bapa ini boleh dikunjungi di No 25-01, Jalan BM7/19, Seksyen 7,
Bandar Bukit Mahkota, Kajang manakala sebarang tempahan atau maklumat lanjut di
facebook dan instagram Muchos Bread.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan