
AHMAD ZAHID HAMIDI melawat salah satu pameran selepas Persidangan dan Pameran Ramuan Halal Asia (HLIA) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. Turut kelihatan, Ahmad Maslan. UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
KUALA LUMPUR 21 Sept. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) ramuan produk halal perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan industri halal global yang semakin meluas.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, inisiatif-inisiatif inovasi perlu digandakan memandangkan permintaan tinggi daripada industri untuk alternatif ramuan halal bagi menggantikan kandungan bukan halal.
“Mana-mana produk halal serta ramuannya perlu melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang teliti serta dibuktikan secara saintifik sebagai halal.
“Ramuan halal adalah sektor yang penting untuk memastikan industri halal terus mampan dan memastikan kelancaran rangkaian perniagaan industri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Ramuan Halal Asia (HLIA) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Yang turut hadir kedua-dua Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri dan Datuk Ahmad Maslan serta Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.
Persidangan dan Pameran HLIA 2015 yang merupakan anjuran HDC serta UBM Asia telah menarik penyertaan lebih 50 syarikat ramuan tempatan dan antarabangsa serta pembabitan daripada 15 negara yang menawarkan persijilan produk halal.
Menurut Ahmad Zahid, bagi tahun 2014, eksport produk halal yang direkodkan negara adalah sebanyak RM37.7 bilion dengan jumlah ramuan halal dinilaikan sebanyak RM12.16 bilion.
Bagaimanapun, jelas beliau, terdapat banyak peluang yang perlu diterokai oleh syarikat-syarikat ramuan halal berikutan penawaran bahan mentah yang diiktiraf halal masih lagi rendah.
“Dalam industri gelatin halal sebagai contoh, bekalannya masih rendah kerana gelatin berasaskan haiwan masih menguasai pasaran sebanyak 90 peratus sedangkan kandungan ini digunakan meluas dalam bahan makanan, kosmetik dan farmaseutikal,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan meneruskan usaha mempromosikan pelaburan dan perdagangan berkaitan industri halal serta komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia bukan sahaja memiliki 188 syarikat yang mengeksport ramuan halal, malah merupakan negara pertama yang menubuhkan Bank Islam pada tahun 1983 untuk menyokong industri halal serta menghasilkan inovasi bahan berasas minyak sawit untuk menggantikan bahan berasaskan haiwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan