Rabu, 30 September 2015

Haram Dalam Halal dalam Perniagaan!

Setiapkali menjelangnya bulan ramadhan yang mulia, panorama biasa di bazar ramadhan yang akan dapat kita lihat dan saksikan adalah pelbagai jenis juadah berbuka puasa pasti memenuhi tiap sudut meja yang telah dibuka untuk jualan. Selalunya, pada waktu inilah ramai peniaga-peniaga baru akan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan memenuhi ruang niaga.
Bazaar Ramadhan

Pastinya mereka ingin turut serta mencuba bakat dan resepi masing-masing untuk sama-sama berniaga bagi memeriahkan bazar ramadhan, di samping berusaha mendapatkan rezeki lebih sebagai persediaan untuk menyambut lebaran.
Sebenarnya sebahagian daripada  peniaga-peniaga yang kita temui di bazar-bazar ramadhan itu tidak pernah kelihatan pun kelibat mereka berniaga di mana-mana tempat sebelum ini, tetapi dengan hadirnya ramadhan al-mubaraq, ianya membuka peluang besar untuk mereka menambahkan pendapatan sampingan, maka kesempatan yang datang setahun sekali  itu telah direbut sebaiknya.
Tertipu tanpa sedar
Selalunya, dalam kesibukan kita mencari  juadah untuk berbuka puasa, kita sering “terkena” apabila terbeli makanan-makanan yang  telah di “Kitar semula” untuk jualan bagi menjimatkan kos dan mengaut untung lebih dengan memperdaya pelanggan. Perkara sebegini sering dilakukan oleh peniaga-peniaga di bazar ramadhan yang tidak jujur, tanpa kita sedari. Acap kali kita akan terbeli makanan yang telah basi dijual kembali dan apabila pulang ke rumah untuk menikmati juadah  tersebut sewaktu berbuka puasa, barulah kita menyedari  bahawa makanan yang dibeli sudah tidak elok lagi untuk disuapkan ke mulut. Jika sekiranya termakan makanan yang sudah rosak itu, sudah pasti ia memudaratkan diri dan menyebabkan keracunan makanan, sementelahan lagi ketika perut sedang lapar dan kosong.
Perbuatan seumpama ini sering dilakukan oleh para peniaga yang tidak begitu mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual, sebaliknya hanya tahu untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan kadar segera tanpa memperdulikan perasaan pelanggan yang mengeluarkan wang untuk membeli makanan daripada mereka. Sikap sebegini amatlah dikesali  sama sekali dan tidak harus dilakukan  oleh para peniaga Islam, semata-mata demi untuk mengaut keuntungan berganda dengan cara yang pantas dan mudah sehingga tergamak  menipu pelanggan.
Inilah yang dikatakan, “HARAM DALAM HALAL” – menipu dan memperdaya pelanggan itu haram, di dalam perniagaan yang halal di bulan yang mulia.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa :
Rasulullah SAW lalu berdekatan dengan selonggok makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya : “Apa semua ini wahai tuan punya makanan?”  Orang itu menjawab “Terkena hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda : “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya?  Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”
(Hadis Riwayat : Muslim, At-Tirmizi.)
Berdasarkan hadis di atas, huraiannya adalah seperti berikut :
Di antara sifat Rasulullah SAW ialah baginda sentiasa mengambil berat tentang urusan umatnya termasuklah urusan mu’amalat mereka. Ini mendorong baginda  untuk meninjau bagaimana keadaan perjalanan jual beli yang dilakukan oleh umatnya di pasar.
Di dalam kes di atas, jelas kelihatan betapa peniaga tersebut telah cuba untuk menipu pelanggan dengan menyorokkan  makanan yang tidak elok di bawah. Perbuatan sebegini adalah dianggap sebagai satu penipuan oleh Rasulullah SAW dan amat dilarang keras kerana ia bercanggah dengan tuntutan iman seorang mukmin.
Biarpun makanan itu masih belum rosak tetapi dengan perbuatan sedemikian ia tetap boleh memudaratkan orang lain apabila memakannya kelak. Oleh yang demikian, Elakkanlah daripada menjual makanan yang telah rosak!
Meskipun anda pasti akan mengalami kerugian dan tidak langsung menguntungkan para peniaga tetapi insya-Allah jika kita jujur, akan ada balasan setimpal menanti dan mungkin Allah SWT akan mengurniakan rezeki serta keuntungan melalui jalan yang lain pula.
Teramat rugi apabila rezeki yang sepatutnya kita dapat dengan halal, berubah menjadi haram dan berdosa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan